Friday, January 2, 2015

Tengkujuh

Bismillah

Setakat hari ini, tragedi banjir yang melanda pantai timur Semenanjung sudah hampir 3 minggu. Aku cuma sempat jeling beberapa berita yang disampaikan di kaca TV, namun aku rasakan tidak cukup meluas kerana diselang seli dengan tragedi pesawat terhempas. Berita dan maklumat yang lebih jelas mengenai keadaan banjir adalah melalui media sosial. Walaupun ada juga peringatan dari pihak pemerintah untuk tidak percaya berita dari saluran tersebut, aku yakin keadaan yang begitu terdesak tidak akan dimanipulasi oleh mereka yang bergelar mangsa. Malah, mereka yang terjejas tiada sebarang kelebihan langsung jika mendesak permintaan bantuan kerana gambaran yang aku saksikan, yang kebanyakannya dari ehsan sukarelawan misi kemanusiaan sangat menyayat hati.

Jika kita peka atau tidak, semua gambaran tersebut adalah realiti yang sedang berlaku di tanah air kita, dan bukan musibah yang acap kali kita tonton di kaca TV sama ada cerita Hollywood mahupun berita taufan di negara lain. Mereka yang terjejas adalah orang kita, rakyat Malaysia yang mungkin kita pernah berselisih di mana-mana tempat ketika pergi bercuti. Bahkan, kita juga pernah ke lokasi-lokasi terjejas seperti Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang, Rantau Panjang, Kemaman, Temerloh baik untuk membeli belah jersi, periuk belanga, makan ikan patin atau beristirehat di pusat peranginan pantai. 

Kini, Allah sedang menguji mereka dan kita yang sedang selesa menjalani kehidupan harian. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, seberat mana pun ujian Allah, jika tekad hati untuk bersatu dan membantu secara ikhlas dengan hati yang bersih, dan doa, dengan izin-Nya kita mampu untuk memberi yang terbaik untuk mereka.

Singkirkan apa jua sentimen terutama politik, sikap tidak peduli atau perkauman. Bahkan, sekurang-kurangnya jika tiada kemampuan untuk membantu, sumbangkan tanda hormat di atas kejerihan yang dirasai mangsa. Mereka tidak peduli dengan suafoto kita bercuti di luar negeri, mereka tidak peduli dengan hidangan makanan yang kita muat naik ke laman sosial, mereka juga tidak peduli dengan hiasan pelamin persandingan yang menelan belanja ribuan ringgit.

Kalau kita tanpa segan silu dan rasa malu untuk bertindak tanpa mempedulikan mereka yang kesusahan, kita patut malu dengan Allah kerana Dia tidak suka dengan sifat menunjuk-nunjuk, atau kita patut malu dengan Rasulullah s.a.w. kerana baginda tidak sekali pun berbuat demikian.

Aku tabik kepada mereka yang berjuang demi kemanusiaan. Apa yang digelar sebagai Tentera Allah oleh seorang aktivis sangat secucuk. Namun, niat kita hanya Allah yang Maha Mengetahui, semoga kita telus dan ikhlas. 

Aku dapat saksikan tanah air ini penuh dengan mereka yang cinta akan kemanusiaan tidak mengira bangsa dan kaum. Sedikit masa dulu, aku bertembung dengan sekeluarga berbangsa Cina yang sama-sama memenuhkan troli pasaraya dengan bahan makanan, minuman, susu, lampin pakai buang atas dasar yang sama. Allahu akbar. Semoga Allah membuka hati mereka yang baik itu untuk mendakap keimanan kepada-Nya.

Hingga ke hari ini, mangsa banjir masih memerlukan bantuan. Kehidupan mereka kelihatan sangat kritikal terutama anak-anak kecil dan warga tua. Aku tidak sanggup membiarkan layar sebegini berterusan kerana mereka juga makhluk Allah yang sedang diuji untuk kebaikan hari kemudian.

Setiap amal ibadah yang kita lakukan adalah untuk mengimbangi hubungan yang vertikal (habluminAllah) dan juga hubungan yang horizontal (habluminannas). Maka, jagalah keseimbangan itu, kerana setiap kebaikan yang sebesar zarah sekalipun, akan dikira oleh Allah s.w.t.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.