Friday, August 3, 2012

Sharing is caring


Alhamdullillah segala puji-pujian, Tuhan  yang memelihara & mentadbir sekelian alam. Syukur ke hadrat Illahi kita telah melepasi fasa pertama bulan berkat Ramadhan. Semoga kita mendapat rahmat Allah yang diutuskan melalui malaikat-malaikat yang senantiasa berdoa untuk orang-orang yang beriman.

Aku mohon ampun & maaf di atas segala kekhilafan dalam meninggalkan blog untuk berkongsi bersama ilmu-ilmu Allah swt yang saban hari kami di surau tidak putus-putus terima dari ustadz-ustadz. Sehingga malam ini aku terpanggil untuk berbicara tentang tanggungjawab kita menyampaikan ilmu-ilmu (peringatan) ini untuk panduan kita mengejar ketaqwaan. Terutama di bulan yang penuh barakah ini.

Surah al-A’la
[8]Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) Ugama yang mudah diterima oleh akal yang sihat. [9]Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna); [10]Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu; [11]Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya, [12]Dia lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya),

Kuliah subuh weekend yang lalu kami didatangkan dengan Ustadz Badrul Hisham, yang sememangnya terkenal dengan kehebatannya bertutur mengenai ilmu Allah swt. Beliau cuba membawa kami dalam mengupas isi kandungan dan matlamat setiap amalan kita di bulan Ramadhan. Ini adalah semata-mata sebagai peringatan buat kita bahawa sesungguhnya ibadah berpuasa itu adalah rukun dan bukan adat.

Ustadz cuba mengupas rahsia ilmu Allah swt tentang puasa & sekaligus cuba mengkaitkan dengan segala ibadah lain dalam rukun Iman kita. Bahkan ustadz menggalakkan kita mengenali ilmu ibadah ini & difardhukan kita untuk senantiasa berilmu dalam mengerjakan ibadah. Ilmu akan membawa kita kepada kefahaman tentang apa yang kita buat & bukan semata-mata ikutan kerana dengan sekadar ikut-ikutan, kita belum tentu mendapat keredhaan Allah swt. Sesungguhnya dengan ilmu itu, ibadah kita akan lebih bermakna mudah-mudahan akan membawa kita kepada keimanan yang ultimate.

Ustadz menyentuh tentang ibadah solat. Sesungguhnya ibadah ini difardhukan untuk kita sebagai bekalan dunia. Kita saban hari mendengar solat itu tiang agama. Benar. Tanpa tiang-tiang ini, kita akan mudah alpa dengan arus dunia yang semakin hebat melalaikan kita. Fardhu bermakna wajib. Itulah hisab pertama yang akan dipersoalkan di hari perhitungan kelak. Bahawasanya dengan kekuatan yang Allah swt kurniakan untuk kita, Istiqomah yang kita kejar kerana resam kita di dunia ini sentiasa gagal dengan isitiqomah. Maka semoga kita lebih berilmu dalam mengerja rukun pertama ini. Hadiri lah majlis-majlis ilmu, banyakkan bertanya dan tatapi lah buku-buku panduan agama.

Peringkat kedua dari solat ini, ustadz memanggil kita untuk mengenal pengertian berpuasa itu sendiri. Tentang rahmat Allah swt. Apa itu rahmat? Contoh yang paling nyata di fasa pertama ialah tak lain tak bukan dengan fenomena kehadiran yang besar dari umat Islam ke masjid-masjid dan surau. Allah swt telah menurunkan rahmat ke dunia dengan menyentuh hati setiap di antara kita di setiap pelusuk dunia untuk sama-sama ke masjid mengerjakan ibadah solat berjemaah. Itu lah di antara fenomena rahmat Allah yang sangat aku kagum. Pernahkah kita terfikir? Berjuta umat mengejar rahmat ini kerana peluang ini hanya didatangkan kepada kita hanya di bulan Ramadhan. Sesungguhnya Allah swt telah berjanji bahawa setiap amalan di bulan besar ini akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Itu janji Allah. Janji yang telah dinyatakan di dalam kalammullah, al-Quranulkarim.

Fasa kedua Ramadhan juga dikenali dengan fasa pengampunan atau maghfirah. Namun pengertian pengampunan tidak akan hadir tanpa rasa penyesalan di atas segala kemungkaran yang selama ini kita lakukan. Berbalik kepada rahmat yang kita kecapi di fasa pertama, beserta dengan kesedaran iman & istiqomah, maka kesedaran di atas dosa-dosa yang lalu akan kita rasai. Di saat dan ketika inilah kita akan bermunajad memohon pengampunanNya dengan rasa penuh penyesalan. Alat atau tools yang paling popular untuk kita terus memperhambakan diri ini adalah melalui Zikrullah. Zikir membantu kita sentiasa mengingati Allah. Setiap lafaz dibibir perlu penghayatan yang mendalam sehingga hati kita tersentuh dengan zikir tersebut. Lebih banyak kita berzikir, lebih sentiasa kita mengingati Allah, sekaligus kita akan terus memohon keampunan & meninggalkan segala kemungkaran.

Fasa ketiga. Fasa yang sering kali kita dengar sebagai fasa pembebasan dari api neraka. Di mana inilah sefaham aku sebagai matlamat kita hidup di bumi Allah. Bumi yang Allah pinjamkan untuk kita sebagai khalifah bagi mentadbir kehidupan kita sendiri, keluarga malah persekitaran kita. Segalanya adalah untuk dunia yang ultimate iaitu kehidupan di hari akhirat. Syurga. Itu yang kita mahukan. Sesungguhnya terdapat 4 jenis umat yang akan sentiasa dirindui syurga (1) Orang yang sentiasa membaca al-Quran. (2) Orang yang sentiasa menjaga pertuturannya. (3) Orang yang memberi makan kepada orang yang lapar. (4) Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan.

Kita boleh kupas sendiri pengertian 4 jenis orang ini sesungguhnya ia nampak mudah untuk kita kecapi tapi tanpa ilmu, tanpa keimanan, tanpa istiqomah dan kesedaran sangat mudah juga untuk kita leka & melepaskan peluang yang Allah janjikan ini. Bahkan kita tambah lagi dengan kemungkaran.

Dalam kita mengejar keberkatan Ramadhan, jangan sekali-kali kita lupa dengan tanggungjawab lain kita sebagai umat Islam. Perkara-perkara yang paling asas seperti menjaga aurat. Ramai di kalangan kita yang semakin mengambil mudah dengan tanggungjawab ini. Bahkan sudah menjadi lumrah mencampur aduk kan ibadah dengan keingkaran menutup aurat. Kita berpuasa, kita bersolat tapi kita juga masih tidak menjaga aurat kita. Perkara paling asas ini perlu diperingatkan dari peringkat awal iaitu di peringkat organisasi keluarga sendiri. Ayah & suami selaku ketua keluarga adalah dipertanggungjawabkan untuk membimbing ahli keluarga tentang ini. Bahkan ingat mengingati juga perlu ada istiqomah dalam kita sama-sama menuju genggaman ketaqwaan.

Sesungguhnya apa yang buruk datangnya dari aku dan yang baik hanya dari Allah swt. Cukup setakat ini yang sempat aku kongsi bersama ilmu Allah swt dengan bantuan ustadz melalui tazkirah-tazkirah yang mampu aku catatkan.

Di 10 malam terakhir Ramadhan akan berlakunya malam Lailatu Qadr. Mudah-mudahan kita bersedia untuknya kerana belum tentu kita akan bertemu Ramadhan yang akan datang. Rebutlah peluang. Semoga dengan kekuatan yang Allah kurniakan, aku akan cuba kongsi bersama kehebatan malam tersebut. Allahuakbar. Amin.

2 comments:

  1. Alhamdulillah..baguih sahabat aku ni..moga kita mendapat Rahmat dan Pengampunan dariNya.

    Mulai sekarang aku lantik kau jadi Mursyidul Am TOKs merangkap Tok Dalang 'geng lepak bawah tangga'. Jangan bukak meja jual madu tualang udah le..hehehe

    ReplyDelete
  2. Amiiin.

    Bukan ke chief tangga memang kau bai? Aku geng kok por, makan sedulang, amik angin belakang dapor. kui kui kui

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.