Showing posts with label Evolusi. Show all posts
Showing posts with label Evolusi. Show all posts

Wednesday, March 2, 2016

Evolusi Lanun Basikal 3 - BMX dan Pengangkutan Sendiri

Saya dibesarkan di tengah-tengah zaman BMX, antara jenama terulung zaman itu yang sudah pasti menjadi idola ramai kanak-kanak lelaki. Pengeluar BMX terkemuka pada masa itu seperti Kuwahara, Mongoose, Shimano dan GT memang berlumba-lumba memasuki pasaran di serata dunia. Tetapi saya hanya mampu melihat dan membelek di kedai-kedai basikal. Agak "rare" untuk jumpa kerana kurang kedai basikal. BMX lebih meletup dengan kemunculan cerita E.T. di panggung wayang. Watak sekumpulan kanak-kanak yang menunggang BMX dalam usaha menyelamatkan makhluk asing.

Namun, saya hanya seorang kanak-kanak lelaki yang terdedah dengan pengaruh arus perdana terutama dari kotak televisyen. BMX juga menjadi impian saya ketika di bangku sekolah. Rakan-rakan sebaya di kejiranan juga ada yang berkemampuan untuk menunggang BMX. Sedikit terliur bila melihat mereka menunggang bersama. Tambahan lagi apabila tiba waktu bermarhaban di bulan Syawal yang memberi peluang kami berkonvoi dengan basikal di sekeliling taman. 

Puas saya memujuk rayu ayah untuk menaja sebuah BMX. Unfortunately, idea pendedahan trend BMX mendapat tentangan dari ibu. Ibu tidak berkenan dengan konsep reka bentuk BMX yang dikatakannya agak serba kekurangan (togel). Basikal tak cukup sifat yang tak berbaloi dengan harganya, sedangkan tidak dikemaskan dengan mud-guard, loceng, lampu dan sarung rantai. Saya terpaksa akur kerana penasihat tidak luluskan penajaan.

Saya berusaha juga untuk mendapatkan tajaan, walaupun apa jenis juga basikal kerana saya tahu BMX sudah tiada dalam senarai impian. Namun, spesifikasi basikal terpaksa ditukar kepada basikal yang lebih sopan. Zaman itu dipanggil 'basikal mini'. Saya kurang pasti apa nama sebenar tetapi itulah panggilan yang lebih popular. Mungkin saiznya yang lebih kecil dan lebih ringan berbanding basikal 'cargo' yang direka khas untuk kaum wanita. 

Tahun 80-an saya hanya kenal empat jenis basikal:
  • Basikal cargo atau basikal Jepun atau basikal kampung atau basikal jaguar. Tiga panggilan terawal jelas diperolehi dari kegunaanya, tapi panggilan terakhir agak kurang pasti. Basikal cargo sangat popular dan agak versatile. Malah sekarang dianggap vintage dan menjadi 'collectors item'.
  • Basikal mini. Saiz lebih kecil dan lebih ringan dari basikal cargo. Geometri lebih sesuai untuk penunggang wanita terutama dengan ketiadaan palang tengah. Nampak lebih sopan dan feminin. Sangat popular sewaktu ramai pekerja kilang wanita zaman itu.
  • Basikal BMX. Saiz lebih kecil dari basikal mini. Sesuai untuk kanak-kanak dan remaja. Sesuai untuk aktiviti lasak dan aksi-aksi yang berjiwa muda. Sangat mudah dijaga, malah tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan.  Dilengkapi tayar yang tebal untuk pelbagai permukaan terutama off-road.
  • Terkemudian sikit baru muncul basikal Chopper. Basikal import. Memang spesis yang berlainan, yang lebih kepada gaya, mutu dan keunggulan.
Akhirnya saya dihadiahkan sebuah basikal mini. Antara tujuan utama sebagai mode transport untuk ke sekolah dan kelas mengaji. Saya hanya mampu bersyukur dan berterima kasih kerana akan bermulanya episod penjelahan baharu.




Evolusi Lanun Basikal 2

Saya sambung post yang pertama dulu sebab agak tergantung. Mungkin lebih elok diadakan 'sequel'.

Secara asasnya atau lahiriahnya yang dapat kita saksikan dari kaca mata ini, penunggang atau pengguna basikal di mana jua saya dapat kategorikan mengikut kelompok tujuannya seperti:

  • pengangkutan ke tempat kerja (commuting) dan pengangkutan untuk bekerja seperti membawa barang.
  • sebagai hobi dalam sukan berbasikal bagi mengisi masa lapang, minat dengan perkembangan teknologi dunia basikal atau industri sukan berbasikal itu sendiri.
  • beriadah untuk kesihatan atau menguji kekuatan individu
  • pengumpul atau "collectors".
  • mod pengangkutan untuk menjelajah seperti "bike touring".
  • atau digunakan untuk menakluk dunia! Ingat bagaimana Jepun menawan Malaya? 



Evolusi dunia basikal ini boleh saya katakan sesuatu yang sangat besar peradabannya. Benar, ia berkembang sejajar dengan evolusi manusia berabad lamanya. Mungkin majoriti dari masyarakat kita terutamanya di Malaysia, kurang perasan kerana kita lebih memandang kepada model-model terbaharu Vellfire, BMW, Odyssey, Passat, Harley Davidson dan berbagai kenderaan berenjin yang dijadikan sebagai simbol kejayaan atau kemewahan. 

"Basikal?! Apa lah sangat?! Hah?!! Ada basikal yang harga macam sebuah Honda City?!

Begitulah jawapan mereka yang hanya mengutamakan kemewahan teknologi kenderaan berenjin. Sehinggakan kenderaan mekanikal yang pertama di peradaban dunia langsung disisih. 


"Terkadang kita dipesan untuk kurangkan memandang ke atas kerana kita akan lupa asalnya kita bermula dari bawah."