Saturday, August 15, 2015

Evolusi Lanun Basikal

Saya boleh kategorikan diri saya sebagai seorang yang aktif, kebanyakannya dalam sukan yang saya gemari. Bukanlah seaktif ahli sukan yang mampu bertanding di peringkat daerah, negeri mahu pun negara. Saya aktif untuk kesihatan dan memastikan minda sentiasa fokus. Yang pastinya, keaktifan saya mampu membantu saya untuk lebih fokus dalam menjalani kehidupan harian daripada khayal mengelamun atau malas atau buat perkara-perkara yang tidak bermanfaat.


           Zaman saya dilahirkan dan dibesarkan tiada sebarang ‘alat penenang’ atau mungkin pada zaman ini lebih dikenali dengan istilah ‘gajet’.  Maka, saya dan adik lelaki serta kawan-kawan jiran dan sekolah akan lebih kreatif dalam mengisi masa terluang dengan aktiviti-aktiviti mencabar. Dari celik mata sampailah ke waktu untuk tidur, minda kami sentiasa kreatif memikirkan ‘how to stay treat these adrenalise rush?’. Akibatnya terhasillah trajedi rotan merotan dari ibu dan cikgu kerana terlalu mendukung martabat konsep hidup aktif.

Banyak kekangan sebenarnya sewaktu zaman sekolah rendah. Tambah lagi dibesarkan di dalam persekitaran taman perumahan teres tahun 70’an. Kompaun permainan hanya terbatas sehingga pagar dan empat penjuru rumah sahaja.


Namun, kami mampu memaksimakan peluang yang ada dan 50% konsep hidup aktif tercapai menjelang peringkat usia remaja (sekolah menengah). Pencapaian direalisasikan apabila saya mempunya ‘pengangkutan sendiri’. Perspektif hidup bertukar secara menyeluruh dan kebebasan meneroka tiada batasan sungguh memuaskan dan mempunyai banyak pengalaman manis.


Kini sudah menghampiri 45 tahun membesar dan menambah angka usia, saya mampu untuk menonton dan merakam evolusi industri basikal tanahair. Walaupun basikal merupakan antara mode kenderaan mekanikal tertua dunia, ia mampu mencorak sesuatu peradaban.  Sudah pasti masih ramai lagi lejen atau ‘otai’ yang meninggi ilmu mereka, namun ilmu walaupun sekelumit sangat dituntut untuk disampaikan atau dikongsi bersama.