Saturday, January 17, 2015

Bicara Alam

Bismillahirrahmanirrohim

Fikiran aku masih dibanjiri dengan ujian Allah yang menimpa saudara kita di Pantai Timur. Sukar untuk aku melupakan apa yang dilihat dan sukar untuk aku tidak berbuat apa-apa. Jika masa dulu fikiran ni asyik memikirkan perihal basikal, lari, blogging dan segala apa lah yang berkaitan dengan hobi, tapi sekarang aku lebih tertumpu kepada perspektif yang berlainan. Kuasa Allah dalam membuka hati kita tidak disangkalkan. Mungkin Allah sedang menjelaskan kepada aku bahawa sudah cukup hayat aku untuk diri aku sendiri. Sudah sampai masa untuk memberi manfaat. Wallahu'alam. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. 

Tambahan lagi keadaannya bila aku ikuti paparan pesanan dan perkongsian seorang aktivitis NGO yang sudah hampir 4 minggu memanfaatkan dirinya untuk menganjur dan memberi bantuan yang tidak putus-putus kepada mangsa banjir di Kelantan. Setiap perkembangan darinya hampir setiap jam membuatkan aku berasa tidak puas hati dan tidak cukup dengan kemampuan aku ke sana tempoh hari.

Namun, Allah memberi aku masa untuk kembali ke pangkuan keluarga dan ke kampung BTHO untuk muhasabah. Sesungguhnya aku sedang cuba mengupas yang terbaik.

Kuliah malam ini ustadz mengupas tentang Bicara Alam, yang sekaligus menyentuh apa yang telah dan sedang berlaku di Pantai Timur. Kalimah Allah s.w.t. yang terbaik berkaitan dengan Bicara Alam ini ialah dari Surah (16) An-Nahl: Ayat 10 - 17. 

Sekali bacaan ayat-ayat tersebut bersama maknanya mungkin tidak begitu signifikan, akan tetapi kupasan ustadz cukup untuk membuka minda dan hati untuk bertafakkur memikirkan kehebatan dan kebesaran Pencipta kita. Allahuakbar.

Benar sekali apa yang terjadi di sana tidak terjangkau oleh fikiran kita. Sungguh, itu lah yang aku rasakan ketika berada di sana. Kelu lidah ingin menyatakan apa yang mata ini melihat. Sesuatu yang sungguh di luar jangkauan perkataan dan pemikiran. Kata-kata itu kerap keluar dari mulut ini semasa berbicara dengan teman misi. Namun, itu lah bicara alam yang sedang menyampaikan kepada kita sesuatu.

Muhasabah kita juga sekali sekala penting dalam menilai apakah pengertian di sebalik apa yang berlaku dan bukan lagi waktunya untuk menuding jari atau mengkaji punca kepada permasalahannya. Bersyukur, berfikir tentang sifat Al-Jabbar, memahami sifat Al-Hakim, mengingati sifat Ar-Rahman, dan yang memberi petunjuk adalah antara yang disentuh ustadz dalam perkongsian beliau.

Aku juga terpanggil kembali dengan lirik sebuah lagu kegemaran dari artis Indonesia sedikit masa dulu yang merupakan seorang yang puitis. 

Perjalanan ini
Terasa sangat menyedihkan
Sayang engkau tak duduk
Disampingku kawan

Banyak cerita
Yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering bebatuan

Tubuhku terguncang
Dihempas batu jalanan
Hati tergetar menatap
kering rerumputan

Perjalanan ini pun
Seperti jadi saksi
Gembala kecil
Menangis sedih ...

Kawan coba dengar apa jawabnya
Ketika dia kutanya mengapa
Bapak ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut
Kukabarkan semuanya
Kepada karang kepada ombak
Kepada matahari

Tetapi semua diam
Tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri
Terpaku menatap langit

Barangkali di sana
ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang


Wednesday, January 14, 2015

Kg Dusun Nyior & Kg Aur Berduri

Sambungan...

Bandar Kuala Krai yang saban hari diberitakan dengan kesesakan lalulintas ketika musim perayaan kini hanya mampu duduk lesu dengan mempamerkan kesan-kesan pasca banjir. Suasana dan pemandangan sangat menyayatkan. Hampir 80% urusan perniagaan di sekitar bandar masih belum beroperasi. Nyata sekali tanda lumpur di dinding bangunan menunjukkan ketinggian air banjir yang melanda bandar Kuala Krai amat tinggi. Lokasi Kuala Krai yang begitu hampir dengan pertemuan Sungai Lebir ke Sungai Kelantan juga ternyata menjadi penyumbang utama kepada berlakunya banjir besar tempoh hari.

Kami buat keputusan untuk menyerahkan bekalan bantuan yang tertangguh dari Kg Laloh tadi kepada seorang wakil perkampungan dari Jeli. Bekalan bantuan dipindahkan ke kenderaan beliau. Selesai bersarapan di mana aku fikirkan bermanfaat untuk bekalan tenaga kelak, kami menuju ke Guchil di mana bantuan akan terus disampaikan kepada penduduk beberapa kampung. Kini kami lebih bermotivasi setelah agenda pertama di Kampung Laloh terpaksa diabaikan.

Di persimpangan kelihatan projek pembersihan SMK Kuala Krai sedang berlangsung. Mungkin tajaan sukarelawan dari sebuah syarikat koperat. Liputan media TV yang hadir membuktikan kehadiran orang penting di majlis tersebut.

Namun, apa yang kami bakal saksikan sejauh hanya 3km dari SMK Kuala Krai sangat memilukan. Tiga perkampungan di sini hampir seperti di anak tirikan oleh apa yang sedang berlaku tidak jauh di pekan. Memasuki sisa-sisa jalan estet hasil dari banjir, kami seperti mendekati satu dunia lain. Dunia yang mempamerkan tanda banjir setinggi pucuk pohon kelapa sawit, meranjau ketinggian tiang elektrik, runtuhan bangunan rumah seperti dilanda gempa bumi. Ketebalan pasir sungai yang didamparkan di sekitar kampung menunjukkan kekuasaan Sungai Kelantan melimpahkan isinya. Kami seperti berada di kawasan penempatan pelarian sedangkan mereka yang berteduh di bawah khemah kanvas itulah penduduk kampung sendiri. 

Aktiviti operasi pembersihan dan pembinaan semula binaan sementara seperti tempat solat sedang berlangsung oleh sukarelawan Unit Amal yang mungkin sudah mula bertugas beberapa hari sebelum. Kami juga bersaing dengan konvoi IKRAM Pulau Pinang yang memilih perkampungan ini untuk menghulurkan bantuan.

Kawasan agak kelam kabut di sebalik kesayuan hati. Dari riak muka dan pandangan mata mereka yang terjejas, nyata sekali mereka masih trauma dan buntu untuk mengambil langkah seterusnya. Apatah lagi jika tiada sanak saudara luar. Salah seorang petugas telah memperkenalkan kami kepada tok imam kampung untuk maklumat lebih lanjut tentang dua buah kampung lagi di dalam yang masih belum menerima bantuan yang cukup. Tapi keadaan tanah tidak mengizinkan untuk lori bermuatan berat untuk masuk. Lantas kami memindahkan bekalan ke dalam 4X4 dan meneruskan misi ke Kampung Dusun Nyior dan Kampung Aur Berduri. 

50 kampit beras telah dihulurkan di setiap kampung, selain dari Drypers, selipar, set solat, berus gigi & ubat gigi, kanvas, selimut, sardin, mee segera dan biskut. Malah ayam mentah yang kami sepatutnya masak untuk mereka juga terus kami sedekahkan kerana kesuntukan masa. Di Kampung Aur Berduri, keadaan beberapa rumah cukup menyedihkan. Ternyata mereka masih dalam peringkat 'berdiri semula' selepas dilanda musibah. Terdapat juga sukarelawan dari Surau Tun Teja, Rawang sedang menjalankan tugas pembersihan dan memasak untuk penduduk. 

Kami berjalan kaki memikul bekalan ke setiap rumah. Gambar tidak cukup untuk menjelaskan keadaan dan suasana sebenar. Sebak dada dikawal bagi mengelak linangan air mata. Sungguh, Allah memilih mereka untuk diuji supaya mereka mendapat redha Allah swt yang berlipat kali ganda.

Kami memutuskan untuk meneruskan misi ke Tanah Merah. Sepanjang laluan keluar dari Kampung Dusun Nyior, kami sempat menghulurkan bantuan bekalan untuk penduduk Ladang Mengkebang. Di Tanah Merah kami menghulurkan bantuan bekalan kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang yang menetap di situ. Seorang yang berpangkat YB tapi ternyata zuhud. Kediaman beliau yang juga terjejas teruk tidak menafikan kedatangan kami untuk menempatkan bantuan bekalan sebelum diagihkan di kawasan Parlimen Rantau Panjang. Malah, beliau masih sempat menjamu kami nasi bungkus bagi mengalas perut yang sudah mula berdendang. Alhamdulillah.

Taklimat panjang lebar dari beliau sungguh menyayat hati. Bermula dari kisah kali pertama gelombang melanda bumi Kelantan hinggalah menjangkau ke gelombang banjir kedua, yang kini telah memasuki minggu ketiga mereka di dalam kedaifan.

Dengan terlaksananya huluran bantuan di Tanah Merah, misi kami telah terlaksana, namun kami rasakan ia masih belum tamat. Mereka masih memerlukan bantuan. Sekelumit bantuan kami tidak mampu untuk mengembalikan keadaan asal tapi andai ada rezeki kekuatan dan peluang, inshaa Allah kami akan kembali.


















Monday, January 12, 2015

Kuala Krai Lesu

Hari pertama persekolahan, untuk majoriti sekolah di Malaysia kecuali di kawasan yang terjejas dari bencana banjir. Aku ambil peluang bercuti, konon untuk mengurus anak-anak walaupun mereka sudah besar dan boleh mengurus sendiri di sekolah, tapi ini ialah peluang untuk berehat dari perjalanan hujung minggu lalu.

Alhamdulillah. Misi Bantuan Banjir Kelantan anjuran Surau Al-Ansar, Suakasih, BTHO telah selamat pergi dan kembali. Segala urusan telah dipermudahkan oleh Allah swt walaupun perancangan asal terpaksa diubahsuai mengikut keadaan. Itu juga kerja Allah swt.

Secara ringkas, perkongsian perjalanan  dan pengembaraan kami mungkin boleh memberi sedikit gambaran tentang kesulitan dan kesusahan mereka di sana termasuk mangsa, sukarelawan dan petugas.

Perjalanan kami bermula pada Jumaat jam 11.00 malam setelah pengagihan barang dan peserta ke dalam setiap kenderaan selesai. Sejumlah 11 buah kenderaan 4X4 dan 3 buah lori menyertai misi ini. Majlis perlepasan tidak diabaikan dengan bacaan doa dari Ustadz Ahmad Nazri (ustadz sekampung).

Sebaik menempuh Tol Gombak, kami menyaksikan fenomena yang sangat luar biasa. Berduyun-duyun kenderaan misi bantuan dari pasukan lain juga turut bergerak pada waktu yang sama. Allahu akbar. Malah, rezki dari Allah juga telah menyebabkan kenderaan kami tidak dikenakan bayaran tol. Mungkin jurutol beri laluan percuma bila melihat 'sticker' dan bendera misi. Alhamdulillah.

Perjalanan dari Gombak hingga ke Gua Musang yang mengambil masa semalaman tidak putus-putus dengan kenderaan misi bantuan yang kebanyakan pacuan 4X4. Setiap gerai makan juga penuh dengan kenderaan misi bantuan. Sungguh luar biasa dan sekaligus memberi impak semangat.

Solat Fajr kami di Masjid Tengku Muhammad Faiz, Gua Musang. Sekali lagi aku kagum dengan kekuasaan Allah dalam memberi hidayah kepada mereka yang sanggup meninggalkan keluarga demi jihad. Jemaah subuh pada pagi tersebut seperti solat Jumaat. Perkarangan masjid penuh dengan kenderaan sukarelawan misi bantuan, bas IPTA dan jentera jabatan kerajaan. Allahu akbar.

Sasaran pertama kami ialah Kg Laloh, Kuala Krai, 86km dari Gua Musang. Mendekati Kg Laloh, kami sudah terpukau dengan keadaan di sepanjang jalan utama. Kerosakan kediaman dan infrastrukur hampir 'total loss' seperti keadaan perang yang kita saksikan di filem luar negara. Sisa banjir menyaksikan fenomena luar biasa yang jarang dapat kami lihat terutama di tanah air sendiri.

Melalui individu tempatan yang kami jumpa di tepi jalan utama, penempatan yang sepatutnya menerima bantuan kami terputus hubungan kerana keadaan lumpur terlalu tebal untuk ditembusi akibat hujan berterusan sejak 2 hari lalu. Kami tiada pilihan kecuali untuk memilih ke destinasi yang seterusnya. Semoga Allah swt melindungi penduduk Kg Laloh.

Perjalanan diteruskan ke Kuala Krai, 32km lagi. Merupakan jajahan yang kedua besar selepas Gua Musang. Kami sempat lalu di persimpangan Kampung Manik Urai, antara kawasan perkampungan yang paling teruk terjejas. Keadaan di persimpangan ternyata sibuk dengan kenderaan bantuan dan kawalan keselamatan. Semakan di Google Map dan Google Earth untuk lokasi perkampungan Manik Urai ini tidak syak lagi ia berada di kawasan yang sangat berpotensi menerima impak aliran Sungai Lebir.

Sambung kendian deh...










Thursday, January 8, 2015

New Year Mission

May our 2015 be a blessed year.

We are engulfed more into the flood disaster aid rather than celebrating the new year like Malaysians normally do. For that, I guess it is a good thing. Save the tax payers' money from spending on lousy concerts and corrupt countdowns. 

We are attach to the mobile phones following updates from the disaster locations and aid drive but simply can't resist the temptation sharing food and vacation photos as if we don't care the huge loss these people had.

As of this time, I can confirm my participation in our local community aid drive, base in Surau Al-Ansar. After getting the green light from an owner, his pick-up will be loaned to transport the aid. Financial, food and personal necessity items have been generous. Alhamdulillah. According to plan, we will start our journey this Friday, 9th January to Kelantan. The convoy will consist of 3 no. of 3 tonnes lorries and 10 pick-ups with 40 workforce. Seems like a huge team.

Last Friday night we shopped for items at a huge retailer in Kuchai Lama. Among others are a thousand bottles of drinking water, diaper and biscuits. 600 packs of 5 kilos of rice were brought in, phase by phase. 

We met another group of aid convoy on our way out. A group of Chinese guys, young and old. To my surprise, they are weekend warrior cyclists, and lives nearby to ours. The national interest have connected us, witnessing warm and kind hearts united as one. Allahuakbar.

Come weekend, I assisted with UPM aid drive. We brought the kids along. Goods were packed and sent over to Air Force base in Bukit Jelutong. Another weekend without cycling, but I felt OK as long as the priorities are set right.

Lets pray for the them and for the aid team. Inshaa Allah.

NSK Hypermarket in Kuchai Lama 24-7 with Ansorians.

UPM staff volunteers at filtering & packing 

Following the convoy to TUDM

Friday, January 2, 2015

Tengkujuh

Bismillah

Setakat hari ini, tragedi banjir yang melanda pantai timur Semenanjung sudah hampir 3 minggu. Aku cuma sempat jeling beberapa berita yang disampaikan di kaca TV, namun aku rasakan tidak cukup meluas kerana diselang seli dengan tragedi pesawat terhempas. Berita dan maklumat yang lebih jelas mengenai keadaan banjir adalah melalui media sosial. Walaupun ada juga peringatan dari pihak pemerintah untuk tidak percaya berita dari saluran tersebut, aku yakin keadaan yang begitu terdesak tidak akan dimanipulasi oleh mereka yang bergelar mangsa. Malah, mereka yang terjejas tiada sebarang kelebihan langsung jika mendesak permintaan bantuan kerana gambaran yang aku saksikan, yang kebanyakannya dari ehsan sukarelawan misi kemanusiaan sangat menyayat hati.

Jika kita peka atau tidak, semua gambaran tersebut adalah realiti yang sedang berlaku di tanah air kita, dan bukan musibah yang acap kali kita tonton di kaca TV sama ada cerita Hollywood mahupun berita taufan di negara lain. Mereka yang terjejas adalah orang kita, rakyat Malaysia yang mungkin kita pernah berselisih di mana-mana tempat ketika pergi bercuti. Bahkan, kita juga pernah ke lokasi-lokasi terjejas seperti Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang, Rantau Panjang, Kemaman, Temerloh baik untuk membeli belah jersi, periuk belanga, makan ikan patin atau beristirehat di pusat peranginan pantai. 

Kini, Allah sedang menguji mereka dan kita yang sedang selesa menjalani kehidupan harian. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, seberat mana pun ujian Allah, jika tekad hati untuk bersatu dan membantu secara ikhlas dengan hati yang bersih, dan doa, dengan izin-Nya kita mampu untuk memberi yang terbaik untuk mereka.

Singkirkan apa jua sentimen terutama politik, sikap tidak peduli atau perkauman. Bahkan, sekurang-kurangnya jika tiada kemampuan untuk membantu, sumbangkan tanda hormat di atas kejerihan yang dirasai mangsa. Mereka tidak peduli dengan suafoto kita bercuti di luar negeri, mereka tidak peduli dengan hidangan makanan yang kita muat naik ke laman sosial, mereka juga tidak peduli dengan hiasan pelamin persandingan yang menelan belanja ribuan ringgit.

Kalau kita tanpa segan silu dan rasa malu untuk bertindak tanpa mempedulikan mereka yang kesusahan, kita patut malu dengan Allah kerana Dia tidak suka dengan sifat menunjuk-nunjuk, atau kita patut malu dengan Rasulullah s.a.w. kerana baginda tidak sekali pun berbuat demikian.

Aku tabik kepada mereka yang berjuang demi kemanusiaan. Apa yang digelar sebagai Tentera Allah oleh seorang aktivis sangat secucuk. Namun, niat kita hanya Allah yang Maha Mengetahui, semoga kita telus dan ikhlas. 

Aku dapat saksikan tanah air ini penuh dengan mereka yang cinta akan kemanusiaan tidak mengira bangsa dan kaum. Sedikit masa dulu, aku bertembung dengan sekeluarga berbangsa Cina yang sama-sama memenuhkan troli pasaraya dengan bahan makanan, minuman, susu, lampin pakai buang atas dasar yang sama. Allahu akbar. Semoga Allah membuka hati mereka yang baik itu untuk mendakap keimanan kepada-Nya.

Hingga ke hari ini, mangsa banjir masih memerlukan bantuan. Kehidupan mereka kelihatan sangat kritikal terutama anak-anak kecil dan warga tua. Aku tidak sanggup membiarkan layar sebegini berterusan kerana mereka juga makhluk Allah yang sedang diuji untuk kebaikan hari kemudian.

Setiap amal ibadah yang kita lakukan adalah untuk mengimbangi hubungan yang vertikal (habluminAllah) dan juga hubungan yang horizontal (habluminannas). Maka, jagalah keseimbangan itu, kerana setiap kebaikan yang sebesar zarah sekalipun, akan dikira oleh Allah s.w.t.

Wallahu'alam.