Hari pertama persekolahan, untuk majoriti sekolah di Malaysia kecuali di kawasan yang terjejas dari bencana banjir. Aku ambil peluang bercuti, konon untuk mengurus anak-anak walaupun mereka sudah besar dan boleh mengurus sendiri di sekolah, tapi ini ialah peluang untuk berehat dari perjalanan hujung minggu lalu.
Alhamdulillah. Misi Bantuan Banjir Kelantan anjuran Surau Al-Ansar, Suakasih, BTHO telah selamat pergi dan kembali. Segala urusan telah dipermudahkan oleh Allah swt walaupun perancangan asal terpaksa diubahsuai mengikut keadaan. Itu juga kerja Allah swt.
Secara ringkas, perkongsian perjalanan dan pengembaraan kami mungkin boleh memberi sedikit gambaran tentang kesulitan dan kesusahan mereka di sana termasuk mangsa, sukarelawan dan petugas.
Perjalanan kami bermula pada Jumaat jam 11.00 malam setelah pengagihan barang dan peserta ke dalam setiap kenderaan selesai. Sejumlah 11 buah kenderaan 4X4 dan 3 buah lori menyertai misi ini. Majlis perlepasan tidak diabaikan dengan bacaan doa dari Ustadz Ahmad Nazri (ustadz sekampung).
Sebaik menempuh Tol Gombak, kami menyaksikan fenomena yang sangat luar biasa. Berduyun-duyun kenderaan misi bantuan dari pasukan lain juga turut bergerak pada waktu yang sama. Allahu akbar. Malah, rezki dari Allah juga telah menyebabkan kenderaan kami tidak dikenakan bayaran tol. Mungkin jurutol beri laluan percuma bila melihat 'sticker' dan bendera misi. Alhamdulillah.
Perjalanan dari Gombak hingga ke Gua Musang yang mengambil masa semalaman tidak putus-putus dengan kenderaan misi bantuan yang kebanyakan pacuan 4X4. Setiap gerai makan juga penuh dengan kenderaan misi bantuan. Sungguh luar biasa dan sekaligus memberi impak semangat.
Solat Fajr kami di Masjid Tengku Muhammad Faiz, Gua Musang. Sekali lagi aku kagum dengan kekuasaan Allah dalam memberi hidayah kepada mereka yang sanggup meninggalkan keluarga demi jihad. Jemaah subuh pada pagi tersebut seperti solat Jumaat. Perkarangan masjid penuh dengan kenderaan sukarelawan misi bantuan, bas IPTA dan jentera jabatan kerajaan. Allahu akbar.
Sasaran pertama kami ialah Kg Laloh, Kuala Krai, 86km dari Gua Musang. Mendekati Kg Laloh, kami sudah terpukau dengan keadaan di sepanjang jalan utama. Kerosakan kediaman dan infrastrukur hampir 'total loss' seperti keadaan perang yang kita saksikan di filem luar negara. Sisa banjir menyaksikan fenomena luar biasa yang jarang dapat kami lihat terutama di tanah air sendiri.
Melalui individu tempatan yang kami jumpa di tepi jalan utama, penempatan yang sepatutnya menerima bantuan kami terputus hubungan kerana keadaan lumpur terlalu tebal untuk ditembusi akibat hujan berterusan sejak 2 hari lalu. Kami tiada pilihan kecuali untuk memilih ke destinasi yang seterusnya. Semoga Allah swt melindungi penduduk Kg Laloh.
Perjalanan diteruskan ke Kuala Krai, 32km lagi. Merupakan jajahan yang kedua besar selepas Gua Musang. Kami sempat lalu di persimpangan Kampung Manik Urai, antara kawasan perkampungan yang paling teruk terjejas. Keadaan di persimpangan ternyata sibuk dengan kenderaan bantuan dan kawalan keselamatan. Semakan di Google Map dan Google Earth untuk lokasi perkampungan Manik Urai ini tidak syak lagi ia berada di kawasan yang sangat berpotensi menerima impak aliran Sungai Lebir.
Sambung kendian deh...
Sambung kendian deh...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.