Friday, March 6, 2020

Musibah Senja Jumaat


Hujan rahmat turun dengan lebat menyambut kedatangan Jumaat penuh barakah. Namun di pinggir kerahmatan ada juga ujian Allah ke atas hamba²nya baik yang ditimpa musibah mahupun yang di sekelilingnya.

Hampir senja tadi aku menjalankan tugas mengambil anak sahabat pulang dari sekolah. Hujan lebat & trafik sangat² padat. Tiada pilihan lebih praktikal selain jentera marhaen kapcai.

Sebaik memasuki lebuhraya Cheras-Kajang hampir 100m di depan kelibat kemalangan berlau yang melibatkan sebuah motor di lorong tengah tergolek betul² di depan sebuah lori 1 tan yang dipandu ku kira kelajuan 50km/j. Lantas pemandu mengambil keputusan pantas untuk mengelak mangsa dan menukar laluan ke lorong paling kiri. Malangnya lori telah menghimpit sebuah motor lain di lorong kiri & mengheret di sepanjang bahu jalan. Mangsa kedua tercampak ke dalam parit tepi lebuhraya. Mujur tidak diheret bersama motor. Allahuakbar.

Segalanya berlaku begitu pantas tidak sampai 1 minit dua kemalangan berlaku pada tempat yang sama. Apa yang lebih sedih kedua² mangsa adalah wanita lingkungan umur 40an. 

Naluri aku pantas membuat keputusan untuk membantu. Di tengah hujan lebat aku berhentikan motor di bahu jalan & terus bergegas ke mangsa kedua yang masih di dalam parit. Beberapa penunggang motor lain pula bantu mangsa pertama di tengah² lebuhraya. 

Aku tak berani untuk sewenang² menarik mangsa keluar dari parit. Aku pastikan beliau sedar & mampu memberi respon bila ditanya keadaannya. Perlahan² dia cuba memanjat keluar dengan bantuan kami. Kedua² mangsa masih dalam keadaan terkejut dari musibah. 

Setelah mereka nampak lebih tenang, aku & seorang pemuda yang bersama² aku di lampu isyarat persimpangan Balakong awalnya tadi mendirikan semula motorsikal mangsa. 

Aku bertanya jika dia ada nak hubungi sesiapa seperti ahli keluarga. Kasihan bila dia terangkan dia seorang sahaja sementara suami di Kedah. Aku tawarkan bantuan lagi untuk ambilkan telefonnya di dalam kotak motor. 

15 minit berlalu. Sebuah kereta berhenti & menawarkan bantuan untuk menghantar kedua² mereka ke hospital berdekatan. Beberapa orang kami yang lain pastikan motor mereka selamat di letak di bahu jalan & semua barangan mereka dibawa bersama. Pemandu lori turuti mereka juga ke hospital.

Hujan makin lebat. Hari semakin gelap. Trafik bertambah sesak. Aku tidak henti² mendoakan mereka diberi kemudahan oleh Allah. Aku juga tidak putus berdoa dipelihara keselamatan pergi & pulang ke rumah.

Kemalangan jalanraya terutama yang melibatkan penunggang motor memang lumrah di mana sahaja di negara kita. Aku sendiri telah beberapa kali ditimpa musibah & ia bukan sesuatu yang ingin diingat semula. Apatah lagi mangsa yang kehilangan nyawa & meninggalkan ahli keluarga yang masih memerlukan kasih sayang. Apatah lagi bila punca kemalangan itu sendiri akibat dari kecuaian pengguna jalanraya lain seperti kesalahan memandu dalam keadaan mabuk atau mengguna telefon.

Tiada lain lagi selain usaha kita menunggang & memandu dengan berhemah ialah berpegang sebulat²nya kepada perlindungan dari Allah. Doa dan terus doa. Amalkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.