Thursday, February 13, 2020

2020 First Long Ride

Bukanlah jauh sangat tapi 90km buat pertama kali untuk tahun 2020 memang sedikit rasa gemuruhnya. Apatah lagi sudah hampir 6 bulan tak duduk atas basikal lama-lama. Aku juga ambil kesempatan untuk kayuh sewaktu aku daftarkan Umar di PD International Triathlon supaya kami boleh sama-sama kayuh untuk persediaannya. Dapatlah dua kali kami kayuh sebagai majlis panaskan badan.

Dua minggu lepas kami berjaya berkumpul semula dari kawan lama dan kawan jiran untuk kayuh di Lebuhraya LEKAS dari rumah hingga ke Tol Bukit Setol dan balik. Difikirkan laluan kayuhan ini tidaklah sebegitu mencabar kerana tiada bukit yang tinggi dan curam untuk didaki selain permukaan lebuhraya yang agak bersih dari lubang dan berbagai gangguan trafik.

Ujian kecil terjadi sebaik aku kayuh ke tempat berkumpul beberapa ratus meter dari rumah. Rantai basikal putus! Hati sedikit kecewa dan pantas sahaja aku memikirkan alternatif yang ada untuk aku terus dapat kayuh. Akal ligat berfikir. Untuk disambung semula rantainya tapi tiada alat, malah tiada pengalaman langsung membuatnya. Mungkin boleh cuba sebab aku pernah lihat prosesnya. Nampak mudah. 

Aku hampir putus harapan. Ijat sampai di lokasi berkumpul. Dia tertanya apa kekecohan sebelum kayuh? Aku tau anaknya Zahin mungkin boleh membantu tapi Ijat maklumkan Zahin sudah hendak pergi bekerja dan dia tak pernah membaiki rantai putus. Tapi Ijat menawarkan basikalnya yang satu lagi untuk aku pinjam. Jenama Bianchi Sempre yang sudah aku tau nilainya ribuan ringgit jauh lebih mahal dari basikal besi aku.

Alhamdulillah saiz kami hampir sama. Aku tiada masalah dengan geometri konfigurasi basikal Ijat walaupun agak jauh kedudukan 'handlebar' tapi cukup untuk setakat ni.

Kayuhan kami bermula agak kelewatan oleh sebab masalah teknikal tadi. Kami berjumpa dengan kumpulan sahabat lain di R&R Branang. Mereka juga dikhabarkan kelewatan. Tak mengapa sebab kami sangat gembira kerana sudah sekian lama tak berjumpa dan kayuh bersama.

Kelajuan kayuhan kami dalam kadar yang selesa untuk tiada yang tertinggal mahupun yang terlalu laju. Perbualan rancak di atas basikal berterusan hingga ke kaki Bukit Setul. Lumrahnya bila mendaki masing-masing akan ikut kemampuan sendiri. Kami berkumpul semula di puncak.

Cuaca agak selesa dengan deruan angin sekali sekala menyamankan badan yang berpeluh dan kaki yang sudah mula terasa penat. Perut juga sudah mula berkeroncong tanda waktu sarapan sudah dilewati. 

Kumpulan kami terpaksa berpisah kerana masing-masing dengan rancangan kayuhan seterusnya atau berpakat untuk memilih laluan lebih cepat dan mudah untuk balik.

Ada yang terus ke arah Lenggeng untuk bersarapan. Ada yang meneruskan kayuhan sepanjang lebuhraya menghala ke Senawang. Nizam, Sidan dan aku memutuskan untuk berhenti bersarapan di kedai pertama yang beroperasi kami jumpa sebaik menuruni Bukit Mantin di jalan lama.

Alhamdulillah nasi lemak dengan lauk sambal sembilang menjadi santapan bekalan tenaga kami. Kami teruskan kayuhan balik melalui lebuhraya juga. Angin semakin kuat pula hari ni dan tidak lupa juga cuaca terik yang mula menggigit kulit.

Hampir setiap persimpangan lebuhraya dijadikan tempat kami berteduh dari panas matahari. Sidan terpaksa menamatkan kayuhannya di penghujung lebuhraya kerana sudah tidak larat. Tinggal aku dan Nizam yang masih cuba untuk tamatkan kayuhan sehingga ke rumah. Cabaran angin, panas kini bercampur pula dengan kesesakan trafik hari Sabtu cuti umum Thaipusam.

Beberapa kali juga aku hampir dihimpit dan dimarahi oleh penunggang motorsikal yang menderu tanpa rasa tanggungjawab kepada pengguna jalanraya lain. Sedikit terkilan dengan sikap dan akhlak yang dirasakan semakin buruk dalam kalangan pemandu dan penunggang motorsikal di negara ni.

Kayuhan tamat pada 97km. Aku rasa berpuas hati dengan usaha untuk kembali beriadah dengan sukan berbasikal.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.