Hari silih berganti. Minggu datang dan pergi. Aku kembali menghadiri kelas pengajian hujung minggu setelah beberapa kelas ditangguh akibat cuti umum. Mungkin bagiku topik pengajian pada minggu ini banyak kepada ulangan yang lepas, akan tetapi pengalaman tenaga pengajar yang dikongsikan sungguh luarbiasa.
Pengalaman beliau hampir 50 tahun sangat berharga dan patut aku rakamkan demi penambahbaikan budaya dan bangsa kita.
Segalanya berhubung kait dengan nilai sejarah bangsa kita. Sudah tentu, topik sejarah merupakan salah satu bidang yang semakin menjadi 'sejarah'. Kita yang berada dalam jajaran 'main stream' sudah tentu lebih alpa dan terdorong dengan budaya moden dan siber, yang lebih laju membebaskan maklumat di seluruh jaringan (network) sesama sahabat handai dan kenalan. Dalam masa yang sama, kita semakin meninggalkan langkah-langkah lesu dan 'serene' yang membawa kita kembali ke susur galur kita.
Disebabkan arus kemodenan yang terlalu drastik yang sudah menjangkau hampir 15 tahun, kita hanyut dalam pembangunan itu sendiri. Tema 'pembangunan insan' yang seringkali kita dengar, ternyata hanyalah 'proxy' tanpa hujung dan matlamat. Tema mendaulatkan bangsa dan agama hanyalah mainan di bibir setiap di antara kita, dan lebih teruk lagi digadaikan demi wang ringgit dan kuasa.
Begitulah senario yang berlaku di tanah kelahiran kita. Itu lah perjuangan yang disandarkan selama ini dan yang pastinya, perjuangan tersebut jika tidak kembali ke jalan yang benar, ia hanya akan membawa kerugian kepada kita dan kebinasaan kepada zuriat kita.
Kita tidak perlu menjelajah ke setiap pelusuk dunia hanya untuk menuntut nilai-nilai ilmu. Perkongsian kenalan dan tatapan melalui media juga bernilai jika kita bijak memilih. Berikut adalah beberapa senario yang boleh kita dalami dan timbalbalas:
Kita tidak perlu menjelajah ke setiap pelusuk dunia hanya untuk menuntut nilai-nilai ilmu. Perkongsian kenalan dan tatapan melalui media juga bernilai jika kita bijak memilih. Berikut adalah beberapa senario yang boleh kita dalami dan timbalbalas:
- Nilai ilmu di Jepun sangat didaulatkan sehingga perkembangan dan pembangunan ilmu begitu pesat. Bayangkan saiz RAM komputer kita yang bersaiz sebuah negara seperti Jepun. Selain ilmu dan teknologi mereka yang sudah sememangnya terkenal serata dunia, mereka sentiasa mendukung daulat ilmu itu sendiri.
- Dasar Pandang ke Timur. Masih ingat lagi tentang kempen tersebut? Mu'alim kami sempat berkongsi cerita. Di Jepun, buku tersangat banyak sehinggakan bahan bacaan terdapat secara percuma hampir di semua kawasan awam seperti kedai kopi dan di dalam kereta api laju. Buku tersusun kemas di rak-rak atas. Sangat luarbiasa. Yang lebih luarbiasa ialah ketulusan warga mereka. Lepas baca, letak balik. Jadi, seminggu pergi dan balik kerja naik 'train', dah boleh khatam satu novel.
- Oleh kerana terlalu laju perkembangan ilmu dan berita di sana, akhbar harian diterbitkan setiap 2 jam. Jika kita bermusafir di dalam kereta api laju dari Johor Bahru ke Perlis, mungkin kita boleh khatam 3 edisi akhbar pada hari tersebut, pembelian setiap 2 jam di stesen berikutnya.
- Oleh kerana terlalu hebatnya sikap dan mentaliti mereka, mu'alim kami terlupa dan meninggalkan kunci rumahnya di lubang kunci pintu selama seminggu bertugas luar kawasan, rumahnya selamat tidak disamun.
- Oleh kerana begitu serius mereka mengambil isu amanah diri, mu'alim kami dimarahi oleh touke kedai kerana cuai tertinggal 'handphone' di atas meja makan. Atas alasan, sikap cuai beliau akan hanya menanam sikap jahat ke atas sesiapa yang menjumpai 'handphone' tersebut untuk tidak memulangkannya.
- Mereka memartabatkan diri dengan kekuasaan ilmu di dalam diri. Lebih banyak ilmu mereka, lebih bernilai diri mereka. Kita...memartabatkan material seperti kereta, rumah dan pangkat untuk mengekalkan ego kita.
Itu antara yang aku mampu rakam dalam 'hard disc' aku yang semakin 'outdated' dimakan usia, walaupun hampir setiap hari aku 'clear cache'. Mungkin senario yang berlainan dari perspektif berlainan di kalangan kita. Mungkin juga ada unsur kurang elok di sana, tetapi adalah lebih baik kita memandang yang elok sahaja untuk dijadikan tauladan.
Aku yakin, dengan bimbingan dan cara aku dibesarkan di sini sejak 40 tahun yang lalu sudah cukup kuat akarnya seperti yang sedang berlaku di Jepun dan negara-negara serumpun dengannya. Semua nilai-nilai murni juga menjadi silibus pendidikan sekolah anak-anak aku. Pendidikan sivik, tatarakyat dan sebagainya. Tapi kenapa masih lagi yang nyata di pandangan kita, nilai-nilai murni tersebut hanya seperti dedaunan kering ditiup di kaki lama? Dan masyarakat semakin jahil dan terus dijahilkan, menghasilkan keruntuhan akhlak saban hari.
Aku yakin, nilai-nilai murni jika digandingkan dengan ketauhidan dan keimanan yang tekad, kita mampu menjadi lebih baik dari Jepun. Sama-samalah kita berdoa dan terus berusaha.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.