Tuesday, December 16, 2014

Borneo Trip

Asal hujung tahun aje, mesti nak jalan. Asal nak jalan aje, mesti kena hujung tahun. Sebabnya, tak tau. Mungkin sebab cuti sekolah lebih panjang, jadi kesesakan dapat diimbangkan jika berbanding dengan kesesakan yang dimampatkan akibat cuti sekolah pendek. Tapi untuk aku, cuti hujung tahun membolehkan aku untuk mengumpul sedikit dana dan merancang dengan lebih teliti supaya perjalanan percutian lebih teratur. Nama pun nak bercuti, jadi kita tak mahu keadaan yang kelam kabut dan 'adhoc'. Kalau masih muda dan bujang, tak mengapa.

Tahun ni, kami pilih Sabah, negeri di bawah bayu. Pembelian tiket penerbangan telah dibuat seawal bulan April. Tempahan homestay pula dibuat pada bulan Oktober. Kami telah memilih Malaysia Airlines untuk menikmati perkhidmatan yang selesa, dengan harga tiket yang agak berbaloi. Kami memilih 'homestay' kerana bilangan kami ramai di mana penginapan di bilik hotel tidak praktikal dan mahal.

Untuk aku, Sabah memang berbaloi untuk mereka yang pandai menghargai keindahan dan keunikan alam semulajadi. Untuk yang bermatlamat untuk membeli belah, mungkin tidak praktikal kerana harga barangan mahal sedikit dari Semenanjung. Melainkan anda berkehendakan dan meminati mutiara dan ikan masin.

Percutian kami sepanjang 4 hari 3 malam. Jadual penerbangan ditempah pada jam 8.30 pagi dari KLIA untuk memberi sedikit kelegaan dari terkocoh-kocoh dan kontinjensi.

Tapi, sesungguhnya Allah swt memberi ujian tidak mengira masa. Pengajaran untuk kami sekeluarga. Nak pergi ke Sabah, dan mungkin Sarawak juga, setiap ahli diwajibkan membawa dokumen pengenalan diri yang asal. Anak aku yang kedua belum ada mykad mahupun mykid. Kami hanya membawa salinan imbasan sijil kelahirannya. Setibanya di kaunter KLIA, salinan imbasan tidak diterima. Lantas, kecekapan aku memandu kenderaan selaju 180 km/j telah teruji apabila kami terpaksa pulang ke Cheras untuk mengambil dokumen asal. Alhamdulillah, kami selamat sampai semula di KLIA 30 minit sebelum berlepas.

Setelah dikira-kira, kos meletak kereta di Medan Letak Kereta A, KLIA jauh lebih murah untuk 4 hari, jika dibandingkan dengan kos menyewa teksi dan menggunakan tren ERL. Dengan hanya bayaran RM144 cukup berpatutan.

Aku jarang-jarang menggunakan penerbangan, jadi setiap detik dinikmati secukupnya. Begitu juga kelihatan di raut muka anak-anak dan keluarga yang nampak gembira. Jika mereka gembira, maka gembira lah aku. Alhamdulillah.

Lawatan terakhir dan terulung aku ke Sabah pada tahun 2007. Hanya berobjektif untuk memanjat Gunung Kinabalu dan pulang. Tapi sebaik menapakkan kaki di KKIA, suasana dan persekitaran di bandar Kota Kinabalu ternyata telah berubah. Kesesakan dan pembangunan sudah mirip KL. Pembinaan bangunan-bangunan baru di sekitar bandar memaparkan imej pembangunan sejagat. Cuma iklimnya masih kekal panas dan nyaman kerana kedudukan bandar KK dipinggir laut. Hampir serupa dengan Penang.

Ketika berada di KL lagi aku telah mengumpul sebanyak mungkin maklumat berkenaan Sabah dan tempat-tempat lawatan. Senarai maklumat memudahkan aku merancang jadual perjalanan dan masa. Antara yang disenarai pendekkan ialah:

  • Sunset di Tanjung Aru
  • Musical Fountain di Perdana Park
  • Tuanku Abdul Rahman Marine Park
  • Rumah Terbalik di Tamparuli
  • Jambatan Tamparuli
  • Kinabalu National Park
  • Desa Cattle Farm di Kundasang
  • Luanti Fish Spa di Tagal Moroli
  • Poring Hot Spring dan Canopy Walk

Senarai pendek sedemekian juga sudah kami rasakan kesuntukan masa 4 hari. Tapi Alhamdulillah kami dapat menikmat setiap lawatan secukupnya.

Sunset di Tanjung Aru sungguh mempersonakan

Aktiviti Para Sailing dengan kadar paling murah sukar untuk kata 'Tidak'

Himpunan kepulauan

Jeti Pulau Manukan menyambut ketibaan

Penginapan eksklusif untuk yang istimewa

Pengamatan Kampung Pasir Putih (kampung terapung), Pulau Gaya

Jambatan Tamparuli

Pekan Nabalu untuk onde-onde

Tipohon Gate, Kinabalu National Park untuk yang lasak

Desa Cattle Farm, Kundasang mirip New Zealand

Mt Kinabalu dari anjung D'izz Homestay selepas subuh ciptaan Ilahi

Canopy Walk di Poring Hot Spring National Park


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.