Aku telah diberi peluang untuk ke Pantai Timur sehari dua yang lepas. Allah izinkan. In fact, aku dikehendaki untuk melaksanakan tugas pejabat di Kuala Terengganu. Semuanya amanat last minute sebaik aku pulang dari bercuti di kampung halaman, dan masih mood cuti menjelang cuti umum Krismas. Tapi, asal dapat travel dan melihat tempat orang, aku redha dan OK.
Sudah semestinya tugasan pejabat, maka tiket penerbangan ditaja oleh syarikat, termasuk penginapan dan kereta sewa yang merupakan imbuhan balik. Pejabat menempah Air Asia, ironically-nya sebaik tempahan dibuat, berita kehilangan pesawat syarikat penerbangan tersebut dari Surabaya ke Singapura dilaporkan hilang dan tidak dapat dihubingi. Namun, oleh kerana ia mungkin satu kejutan tapi tragedi yang kedua kalinya terjadi kepada Malaysia, aku tidak begitu kaget. Aku terima dengan redha akan berita tersebut dan yakin perjalanan aku kelak akan dilindungi.
Pertama kalinya juga aku menjejakkan kaki di KLIA2, yang selama ini hanya aku dengar dengan kehebatan kemudahan membeli belah di dalam 'airport' atau sebaliknya. Aku naik ERL Transit dari Stesen Putrajaya, kadar tambang RM6.20 untuk perjalanan selama 15 minit sahaja. Cukup nyaman.
Sebaik aku melangkahkan kaki keluar dari tren, kedai Uniqlo telah menyambut ketibaan. Agak keliru dan buntu seketika. Langkah-langkah yang seterusnya hanya membawa aku masuk ke dalam sebuah kompleks membeli belah terkemuka seperti di ibukota. Mata juga meracau membaca setiap papan maklumat dan arah untuk ke Balai Perlepasan. Aku tidak pedulikan kedai-kedai apa yang ada, yang penting, aku mesti berada di Balai Ketibaan pada waktu yang sepatutnya.
Penerbangan berlepas tepat pada waktunya, namun cuaca di luar masih hujan. Kapten pesawat memaklumkan cuaca di Kuala Terengganu juga begitu dan kehadiran awan-awan tebal akan menyebabkan penerbangan sedikit tidak selesa.
Syarikat penerbangan ini bukan menjadi kegemaran aku, tapi aku tiada pilihan. Mujur penerbangan hanya satu jam, maka posisi duduk yang tidak selesa tidak lama sangat. Jika lebih dari satu jam, aku pasti memilih syarikat lain.
Walaupun telah banyak kali sampai di KT tapi kali pertama dengan penerbangan. Binaan 'airport' KT (Sultan Mahmud Airport) sungguh tradisional dan suasana tidak semeriah KLIA atau KLIA2. Mungkin bukan musim puncak. Kereta terus disewa di 'airport' dan terus ke TH Hotel hanya 3 minit pemanduan. Sebuah hotel baru yang menawarkan kemudahan bilik serba lengkap pada kadar yang mungkin sedikit tinggi untuk aku 'budget traveller'. Tapi asal boleh 'claim' takpe. Kalau untuk bercuti, aku pilih 'homestay'.
Hujan masih gerimis sejak kami mendarat sehinggalah 2-3 jam ke petang bercampur angin yang semakin mendinginkan. Perut mula berkeroncong, mungkin kerana 'skip lunch' dan cuaca sejuk (alasan). Ex-roomate sewaktu di kolej telah aku hubungi tapi tidak berkelapangan untuk menjadi 'food guide' minum petang. Inshaa Allah, dengan sedikit ilmu memandu di KT, aku redah arah ke pusat bandar, lebih kurang 15 minit perjalanan. Tidak sukar untuk mencari tempat makan. Nasi kerabu sebagai hidangan minum petang mungkin agak 'overkill' tapi oleh kerana sudah menjadi santapan qadha' tengahari, aku terkam.
Aku kembali ke Gong Badak untuk bertemu dengan sahabat lama yang sudah bertugas di sini selama 14 tahun dan beristerikan orang Seberang Takir. Kami bersembang panjang, kembali mengikat silaturrahim yang telah lama terputus sambil dihidangi Kopi 'O' panas ketika hujan tiba-tiba menjadi sangat lebat.
Disebabkan makan tengahari menjelang lewat petang, kami berjanji untuk makan malam lewat sedikit. Aku kembali ke hotel untuk berehat, hujan sudah kembali gerimis tetapi masih tetap hujan. Ini pengalaman kedua tengkujuh di Terengganu. Sekitar awal 2000, aku berada di sini dan Dungun untuk menziarah sahabat ini sewaktu dia mula bertugas. Fenomena cuaca yang cukup dramatik.
Beliau memperkenalkan hidangan makan malam di Pulau Duyung dan berjumpa seorang lagi sahabat kolej lama. Keadaan masih gerimis dan kelihatan kereta penduduk Pulau Duyung sudah diletakkan di pinggir jambatan untuk kedudukan yang lebih tinggi. Perasaan sedikit cemas tatkala kami menghampiri kedai makan yang terletak di tepi sungai, dan paras air sungai sudah hampir mencecah tebingnya. Begitu juga beberapa kapal yang ditambat di jeti kelihatan sudah begitu hampir dan lebih tinggi dari struktur bangunan kedai makan.
Untuk tempoh kami menjamu selera, kelebatan hujan silih berganti dari gerimis ke lebat dan kembali gerimis buat beberapa kali. Sesekali perbualan terhenti tatkala air takungan dari bumbung kedai melimpah ke tanah dengan dentuman yang agak kuat.
Sahabat sempat membawa melihat beberapa kawasan banjir di Manir, yang kebanyakannya berhampiran dengan sungai. Dalam sejuk dan gelap lewat malam itu, aku cuma mampu berdoa tatkala melihat beberapa rumah yang sudah ditenggelami air. Namun mungkin, keadaan lebih kritikal di kawasan-kawasan terjejas seperti yang diberitakan.
Berdasarkan info-sembang kami, juga maklumat dari sahabat, terdapat beberapa sebab musabab yang secara langsung menyumbang kepada keadaan cuaca yang sebegitu, hampir setiap tahun. Antaranya perlepasan air dari empangan Kenyir yang menghampiri tahap bahaya ke rangkaian sungai-sungai yang mengalir ke arah laut, dan juga kerja-kerja persisiran pantai yang sedikit sebanyak mengubah keadaan geografi pantai.
Namun, sepanjang aku berada di sini bukan untuk bercuti, aku lebih berpeluang menyaksikan suasana kehidupan yang lebih perlahan tanpa kehadiran sibuk dan huru hara kotaraya. Agak cukup sesuai untuk suasana berkeluarga.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.