Bulan Disember memang musim segala musim yang disatukan ke dalam satu bulan. Musim yang menyajikan berbagai kerenah manusia dan alam. Dilihat secara menyeluruh, kita ada:
- Musim cuti sekolah
- Musim berkhatan
- Musim keputusan peperiksaan
- Musim walimatul urus
- Musim cuti-cuti Malaysia
- Musim tengkujuh
- Musim kembali ke sekolah
Banyak tak? Kalau nak disumbatkan ke dalam 31 hari memang padat. Maka segalanya bercampur aduk di antara suasana, keadaan dan emosi. Siapa kata Malaysia cuma ada 1 musim aje? Kalau negara lain ada 4 musim, kita lebih dari tu.
Aku tidak ketinggalan untuk mengisi beberapa perisian dalam hampir 6 minggu cuti sekolah ini, terutamanya perisian untuk anak-anak. Seberapa boleh, aku ingin menjadikan cuti panjang ini sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat untuk kami sekeluarga dari membiarkan masa terbazir begitu aje. Contoh paling lumrah, membiarkan anak-anak melekat di kaca TV sama ada mengkayakan Astro ataupun bermain PS atau Xbox. Atau lebih tenat lagi, melekat dengan 'smartphone'. Penghujungnya mereka 'berjaya' dalam setiap aspek komunikasi dan sosial. Bangga?
Beberapa perancangan juga telah kami atur terutama belanjawan dan perjalanan ke luar kawasan (bercuti). Perancangan belanjawan paling penting kerana hampir semua melibatkan kos, dan tanpa perancangan, menjelang hujung tahun akan mengakibatkan huru hara. Yang mana menjadi keperluan utama kami dahulukan seperti perbelanjaan untuk kembali ke sekolah.
Kami selesaikan pembelian buku dan pakaian sekolah sebaik memasuki Disember. Sementara kewangan masih kukuh dan stok buku masih ada dan saiz baju masih banyak pilihan. Baru tahun ni kami memilih untuk sedikit perubahan. Belajar dari kekurangan perancangan yang lepas-lepas.
Dah selesai bab sekolah, perancangan bercuti juga telah diatur beberapa bulan yang lalu bagi merebut tawaran tiket penerbangan yang berpatutan. Menjelang Disember kami cuma perlu berbelanja sedikit sahaja untuk 'ground arrangement'. Alhamdulillah dapat merasa bawa sekeluarga dan bonda naik kapalterbang bercuti. Antara tujuan utama ialah membawa dan mendidik keluarga mengembara melihat ciptaan Allah s.w.t. yang sungguh luar biasa.
Dalam pada itu, terkait juga dengan bahang peperiksaan UPSR dan PT3 yang sedikit masa dulu sungguh kontroversi. Keputusan diumumkan pada bulan Disember. Maka bersaksilah kami dengan pelbagai emosi di seluruh tanahair. Masa kami belum tiba tapi 2015 didoakan segala urusan anak-anak dipermudahkan-Nya dengan memperoleh kejayaan.
Dalam bulan ini jugak, setiap hari yang terluang dengan cuti hujung minggu mahupun cuti umum akan direbut untuk melangsungkan perkahwinan. Fenomena yang semakin menjadi isu perbualan terutama topik berbelanja. Aku cukup ngeri melihat kos yang dibelanjakan oleh setiap mereka yang berkahwin pada zaman ni. Cukup gerun. Diibaratkan berbelanja macam hendak hidup sehari tu je, sedangkan kehidupan selepas kenduri tu yang patut disediakan. Aku dah kerap sangat dengar pesan ustadz pasal isu ni tapi malang sekali konsep kesederhaan telah dipejamkan oleh kegemilangan 'glamour' dalam konsep 'raja sehari'. Bangga?
Dalam kita sibuk bersuka ria menyambut menantu, menyambut mempelai di atas pelamin sewaan beribu ringgit, saudara kita telah diuji oleh-Nya dengan kehadiran musim tengkujuh yang sudah lama tidak melanda kawasan-kawasan popular seperti pantai timur. Ujian kali ni agak lebih serius dan melibatkan ribuan mangsa. Observasi aku juga menyaksikan mereka yang berkemampuan tidak akan melepaskan peluang ini untuk terus berinfak harta, wang, masa dan tenaga kerana ganjaran yang telah dijanjikan Allah s.w.t. Sesuatu yang fenomenal. Kesedaran berinfak sudah menjadi sesuatu yang dikejar. Alhamdulillah. Tapi tetap masih ada segelintir yang langsung tidak ambil peduli malah lebih teruk lagi mengambil kesempatan di atas kesusahan sesama saudara.
Jika aku senaraikan kesemua kejadian dan dilihat secara holistik untuk 2014, mungkin ia membantu untuk memotivasikan diri kita dalam memuhasabahkan diri untuk mengenali diri kita dan Yang Maha Pencipta. Antaranya:
- Kehilangan pesawat MH370
- Kemusnahan pesawat MH17
- Kertas soalan UPSR bocor
- Konflik mengadakan PMR atau PT3?
- Konflik harga minyak yang tidak menentu
- Kematian 6 pengunjung konsert akibat 'over-dose' dadah
- Konflik penolakan hukum Allah secara terang-terangan
- Konflik coklat tidak halal
- Pengumuman GST
- Pencabulan hak rakyat Palestin oleh Yahudi ketika Piala Dunia
- Pemboikotan produk Yahudi
- Keputusan PT3 yang teruk
- Banjir besar di beberapa negeri terutama Pantai Timur
- Yang paling terkini...kehilangan pesawat Air Asia QZ8501
Cuba lihat. Adakah kita sedang menuju ke arah merapatkan diri dengan Allah s.w.t. atau sebaliknya (Na'uzubillah)? Adakah gambarannya kita sedang mendapat rahmat Allah atau sebaliknya?
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظۡلِمُ ٱلنَّاسَ شَيۡـًٔ۬ا وَلَـٰكِنَّ ٱلنَّاسَ أَنفُسَہُمۡ يَظۡلِمُونَ (٤٤)
Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi
manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri (44) - Surah Yunus
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.